Tuesday, February 5, 2019

Kisah gadis berbaju ceongsam di Kelantan


A+ A-



Masyarakat Cina di Kelantan sinonim dengan kehidupan sederhana hasil pengaruh asimilasi budaya dan cara hidup orang Melayu sejak turun-temurun.

Mereka tidak terasing dalam kehidupan masyarakat Melayu tempatan dan mampu menyelami adat resam Melayu beragama Islam di negeri itu dalam pelbagai sisi.

Sempena kehadiran Tahun Baru Cina 2019, Malaysiakini cuba menyelami suasana sambutan perayaan masyarakat Cina di Kelantan.


Pada kesempatan kali ini, kami berkunjung ke rumah beberapa keluarga yang terletak di Kampung Cina Chekok Mengkudu, Machang Kelantan.

Owi Siew Yik, gadis Tionghoa berusia 20 tahun mengutuskan senyuman manisnya ketika penulis memperkenalkan diri sebaik tiba di pekarangan rumah keluarganya.




Owi Siew Yik bergambar kenang-kenangan bersama rakan-rakan Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 1, yang hadir pada rumah terbuka Tahun Baru Cina di kediaman keluarganya di Kampung Cina Chekok Mengkudu, Machang, Kelantan.





Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 1 itu sedang sibuk melayani kehadiran sanak-saudara dan rakan-rakan sekolah pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina 2019, hari ini.


Anak bongsu daripada lima beradik yang sedang menungggu keputusan peperikasaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) itu kelihatan tidak kekok melayani tetamu termasuk rakan-rakan Melayu.

Malah ayahnya, Owi Bee Chean, 64, turut menyediakan hidangan makanan masakan Melayu buat santapan tetamu mereka.

Siew Yik berkata, kehidupannya sebagai orang Cina di negeri Kelantan sangat harmoni malah tidak rasa terasing kerana mempunyai ramai kawan-kawan termasuk dari kalangan kaum Melayu dan India.

"Sejak sekolah rendah lagi saya berkawan dengan orang Melayu, sampai sekarang saya ramai kawan Melayu.

"Jadi bila buat rumah terbuka Tahun Baru Cina, saya tak lupa untuk ajak mereka datang memeriahkan majlis," katanya yang petah bercakap menggunakan dialek Kelantan.


Owi Siew Yik (duduk, kiri) bergambar bersama keluarga,tetamu dan kawan-kawan sekelasnya sempena hari terbuka Tahun Baru Cina di kediamaan keluarganya di Kampung Cina Chekok Mengkudu, Machang, Kelantan.



Siew Yik berkata, kehidupannya sekeluarga terdidik dengan persekitaran setempat dan senang untuk bergaul dengan masyarakat Melayu.

"Kebetulan ayah ada buat perniagaan lori angkut, pekerja dan kawan-kawannya juga terdiri daripada orang-orang Melayu setempat.

"Kami sering kunjung-mengunjungi sekiranya ada perayaan seperti ini termasuk Hari Raya Aidilfitri.

"Saya sangat seronok menjadi rakyat Kelantan khususnya dan diharap perpaduan antara kaum di Malaysia akan bertambah erat dan berterusan, " katanya yang bercita-cita mahu menjadi seorang guru.




Ziarah-menziarahi




Tambah Siew Yik, atau mesra dipanggil Owi, sempena Tahun Baru Cina kali ini, dia berharap keluarga dan orang di sekelilingnya sentiasa sihat, ceria dan segala urusan mereka dipermudahkan.

"Saya juga berharap dapat keputusan STPM yang baik dan dapat sambung pengajian di universiti nanti," katanya, masih tersenyum manis dalam baju cheongsam moden berwarna merah.

Bagi rakan sekelas, Ahmad Izzat Izanee, 20, berkata dia dan rakan-rakan mengambil kesempatan sambutan Tahun Baru Cina untuk berkunjung ke rumah Siew Yik.

"Sebagai kawan baik saya mengenai Owo sejak tingkatan empat, kemudian kami sama-sama belajar untuk ambil STPM.

"Sejak berkawan kami sering menziarahi antara satu sama lain khususnya pada hari perayaan seperti hari ini," katanya.

Selain itu, Malaysiakini turut berkesempatan berkunjung ke rumah keluarga Koh Boo Jim, 77, yang turut meriah menyambut perayaan masyarakat Cina itu.

Seperti tahun-tahun lepas, dengan persiapan sederhana Boo Jim akan menyediakan pelbagai juadah sebagai hidangan kepada tetamu yang datang ke rumahnya.



Koh Boo Jim (duduk, dua kanan) bergambar bersama keluarga pada hari pertama Tahun Baru Cina di kediamannya di Kampung Cina Chekok Mengkudu, Machang, Kelantan.



"Macam inilah cara orang kampung sambut hari raya. Setiap tahun anak cucu akan balik dan kami sambut bersama.

"Macam hari ini kami sekeluarga dapat berkumpul bersama selepas masing-masing sibuk dengan kehidupan dan kerja masing-masing.

"Di sini ada lebih 80 keluarga orang Cina, kehidupan kami harmoni tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik," katanya yang tinggal di kampung itu sejak 50 tahun lalu.




Bagi Koh ching Yong, 53, sebagai pemastautin di negeri Kedah, setiap kali sambutan Tahun Baru Cina dia dan keluarga akan pulang ke Kelantan untuk meraikan sambutan itu di kampung halaman.

"Biasanya hari raya pertama dan kedua kami sambut di Kelantan, hari ketiga kami balik sambut bersama keluarga belah isteri di Sungai Petani.

"Kesempatan ini saya ambil untuk jumpa ibu bapa, adik-beradik, anak saudara dan kawan-kawan sekampung" jelasnya.



Koh Ching Yong (kameja merah) sedang melayan tetamu yang hadir ke rumah keluarganya sempena Tahun Baru Cina.
Next
This is the most recent post.
Previous
This is the last post.
  • Blogger Comment
  • Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2012 Cerita Viral Tentang Wanita Malaysia All Right Reserved
Designed by CBTblogger